KEMPEN BOIKOT ZIONIS

| View Show | Create Your Own

Wednesday, April 18, 2007,9:07 AM
MLM dari perspektif Fiqh Islami

Oleh: Lajnah Keahlian & Ulama Pelapis,Dewan Ulama PAS Pusat

'Multi Level Marketing' (MLM) adalah salah satu strategi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, tetapi sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza. Justeru, hukum halal dan haram MLM tidak boleh diukur kepada namanya sahaja, tetapi ia mesti dilihat perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum sesuatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya.

Untuk mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram itu.

MLM dari sudut positif

Jika dilihat sudut positif, MLM berperanan 'pemecah' kepada pemonopolian pasaran bagi sesetengah produk. Tanpa disedari, barangan orang Islam tempatan hampir tiada di pasar raya di negara kita hatta pasar kecil atau kedai runcit. Sedangkan sebahagian produk orang Islam tempatan mempunyai mutu yang baik dan terjamin halalnya.

Apabila orang Islam yang mampu mengeluarkan produk tersendiri, tetapi apabila berdepan pasaran yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai 'dibentengi' menyebabkan kemampuan orang Islam mengeluarkan produk akhirnya terhenti akibat tidak dapat bersaing dengan pengeluar lain dari sudut pemasaran.

Hakikatnya orang Islam yang mempunyai keupayaan menghasilkan produk mempunyai modal kecil berbanding syarikat gergasi antarabangsa serta mereka tidak mampu menanggung kos pemasaran yang tinggi berbanding syarikat gergasi yang lain.

Akhirnya mereka berdepan kelembapan pasaran seterusnya keupayaan dan potensi orang Islam yang sepatutnya boleh dibangun dan dipertingkatkan mati begitu sahaja. Lebih parah apabila kerajaan membuat perjanjian FTA dan serangan globalisasi yang menyebabkan persaingan tidak adil antara pemodal besar dan peniaga kecil.

MLM dari sudut positifnya boleh menjadi strategi pemasaran bagi memecahkan pasaran yang dibentengi tembok tertentu. Ia berguna bagi memperkenalkan produk terutamanya produk halal orang Islam tempatan.

Justeru, MLM perlu dilihat dari sudut positif dan kita sepatutnya sama-sama berusaha memperbaikinya supaya bertepatan dengan syariat sehingga sistem MLM dapat menjadi penyumbang kepada pemasaran barangan orang Islam.

Hukum asal MLM

Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor yang mengharamkannya. “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (maksud al-Baqarah 29).

Hukum asal bagi segala sesuatu adalah harus. Berdasarkan kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor yang mengharamkannya. Untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus.

Dengan kata lain, keharusan sesuatu muamalat seperti MLM tidak memerlukan dalil, sebaliknya pengharaman sesuatu muamalat memerlukan kepastian dan sandaran dalil yang kuat, seperti haramnya sesuatu muamalat kerana kepastian terdapat riba di dalamnya di mana riba adalah haram secara putus dan ijmak di kalangan ulama.

Berdasarkan kaedah syariat, pengharaman sesuatu yang asalnya harus tidak boleh bersandarkan kepada hukum khilafiah, kecuali ketika penggubalan undang-undang. Contohnya, jika ulama khilaf berkenaan dengan Ghabnun dan 'had maksimum keuntungan', maka kita tidak boleh mengharamkan MLM disebabkan harganya yang tinggi berbanding barangan lain.

Oleh itu, untuk mengukur sesuatu muamalat halal atau haram memerlukan kepada:

1. Memastikan benar-benar terdapat unsur haram di dalamnya seperti pemastian bonus yang diagihkan berasaskan perjudian yang akhirnya menyebabkan muamalat tersebut haram.

2. Unsur tersebut hendaklah haram secara putus dari sudut syariat. Seperti unsur riba, unsur perjudian, unsur kezaliman dan sebagainya.

Sebaliknya, tidak boleh kita menghukumkan haram sesuatu muamalat jika ia bersandarkan kepada unsur yang khilafiah dari sudut halal dan haramseperti muamalat yang berasaskan kepada bai' 'inah, ghabnun yang tidak faahish dan seumpamanya.

Perlu difahami asas kepada muamalat ialah mudah dan toleransi. Berbeza dengan asas kepada ibadat yang bersandarkan kepada ikutan dan ta'abbudi.

Justeru, talfik mazhab atau penggabungan mazhab dalam muamalat adalah dibenarkan berbeza dengan talfik dalam ibadat di mana hukum talfiknya lebih ketat berbanding talfik dalam muamalat.

Faktor-faktor haram

Selama mana sesuatu muamalat tidak dimasuki unsur dan faktor haram, maka hukumnya harus sebagaimana asal. Setakat ini faktor haram di sebalik MLM ialah:

1. Perjudian
Perjudian yang terdapat dalam sesetengah MLM dinamakan judi '21 up'. Judi '21 up' bermaksud, setiap yang terlibat di dalam perjudian tersebut mempertaruhkan sejumlah wang tertentu seperti setiap penjudi mempertaruhkan RM10. Selepas pengagihan daun terup dan kiraan mata dikumpulkan, maka penjudi pertama yang dapat mengumpulkan sebanyak 21 mata akan mengambil semua wang yang dipertaruhkan.

Konsep ini diamalkan dalam sebahagian MLM bagi memberi bonus yang tinggi kepada orang yang mencapai point tertinggi atau jualan tertinggi dalam sesuatu level. Contohnya, andai kata dalam level ketiga terdapat 3 orang menjual ubat gigi yang harga jualannya RM5. Daripada RM5 itu, syarikat mengambil RM3 sebagai kos dan untung, manakala penjual MLM mendapat RM1 daripada setiap unit yang dijual. Baki RM1 dipegang syarikat untuk diberikan kepada orang pertama dalam level tersebut yang mencapai tahap jualan sebanyak 5 unit.

Jika penjual pertama berjaya menjual 3 unit, penjual kedua sebanyak 2 unit dan penjual keempat sebanyak 5 unit, maka penjual ketiga akan memperolehi bonus RM10 kerana dia adalah orang pertama dalam level tersebut mencapai jualan 5 unit.

Hakikatnya, RM5 daripada RM10 bonus itu adalah hak penjual pertama (RM3) dan hak penjual kedua (RM2) yang dipegang syarikat yang akhirnya diserahkan kepada penjual ketiga kerana berjaya mencapai jualan target.

Bonus dalam bentuk ini secara pastinya adalah perjudian yang diharamkan Islam kerana si penjual pertama dan si penjual kedua dinafikan haknya kerana kalah, justeru tidak mencapai jualan ‘target’. Sedangkan konsep keuntungan dalam muamalat Islam yang berpandukan surah al-Baqarah ayat 286 ialah, 'setiap yang berusaha berhak mendapat hasil yang diusahakan'.

Bagaimanapun, perjudian yang mencemari MLM ini dapat dibersihkan dengan pelbagai cara seperti pembahagian bonus, bersumberkan keuntungan syarikat yang diagihkan kepada setiap penjual MLM berpandukan unit yang berjaya dijual.

Walaupun bonus yang berkonsepkan pembahagian yang berpandukan jumlah jualan tidak dapat dijadikan bahan kempen kerana jumlah bonus penjual tertinggi lebih rendah berbanding bonus yang berkonsepkan perjudian, tetapi ia bersifat adil untuk semua pihak.

Sememangnya sebahagian pembuat sistem MLM lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan untuk menarik orang ramai menyertainya justeru nilaiannya yang sangat tinggi, tetapi ia diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak lain.

2. Riba
Apabila terdapat 'fixed return' atau janji kemasukan tetap dalam sesuatu sistem MLM, maka ia adalah riba yang diharamkan. Contohnya, setiap ahli yang menyertai rangkaian MLM mestilah membayar yuran RM50. Setelah ia menjadi ahli dengan pembayaran yuran, maka ia berhak mendapat RM5 setiap bulan sebagaimana dijanjikan syarikat di samping keuntungan jualan atau keuntungan melalui poin penggunaan produk MLM.

'Fixed return' tersebut adalah riba yang mencemarkan keharusan sistem MLM. Jelasnya, 'fixed return' ini juga diadakan guna untuk menarik orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut. Bagaimanapun, sistem MLM yang dicemari riba ini boleh dibersihkan melalui pelbagai cara.

Contohnya agihan keuntungan berdasarkan mata penggunaan melalui konsep mudharabah, dimana setiap ahli yang membeli adalah mudhorib (pencarum) yang berhak mendapat peratusan keuntungan syarikat MLM dalam tempoh setahun sebagai contoh. Cara ini bersih daripada riba dan boleh menarik orang ramai menjadi ahli MLM ini.

3. Tadlis, taghrir dan Syamta'
Tadlis bermaksud memalsukan, taghrir bermaksud memperdayakan dan syamta' pula bermaksud 'make up' hamba yang hodoh sehingga kelihatan cantik dengan tujuan memperdayakan pembeli.

Contohnya, syarikat yang berkempen menarik keahlian dengan mengeluarkan buletin yang mempamerkan ahli yang dihadiahkan bonus kereta BMW 3 Series. Ahli dan orang ramai yang melihat buletin tersebut secara umumnya memahami syarikat menghadiahkan kereta tersebut kepada ahli berkenaan tanpa bayaran-bayaran tambahan. Sedangkan syarikat hanya membayar muka pendahuluan RM1,000 untuk diserahkan kepada ahli yang diiklankan sebagai paling cemerlang.

Apabila ahli tersebut menerimanya, ia terpaksa menanggung ansuran bulanan yang tinggi yang akhirnya menyebabkan ahli tadi hanya mampu memakai kereta tersebut dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Syarikat berjaya mengiklankan si ahli tersebut berjaya mendapatkan BMW 3 Series tanpa menjelaskan keadaan sebenar syarikat yang hanya membayar down payment RM1000. Apabila diiklankan 'dihadiahkan' atau 'menerima hadiah' atau 'berjaya memperolehi', umum memahami si ahli memperolehi secara seratus peratus kereta tersebut tanpa apa-apa ansuran bulanan.

Menyembunyikan hakikat pembayaran RM1000 sebagai down payment pastinya bersalahan dengan pemahaman umum. Ini menyebabkan pengiklanan tadi boleh dikategorikan sebagai 'taghrir' (memperdayakan) dalam bentuk 'Syamta' yang diharamkan.

Syamta' ini boleh dibersihkan melalui pelbagai alternatif. Syarikat boleh menganjurkan majlis penyampaian bonus yang halal kepada ahli-ahli yang mencapai jualan tertinggi dan diiklankan dalam buletin. Sekalipun iklan dalam bentuk ini tidak semenarik iklan ahli yang mendapat BMW 3 Series, tetapi ia berupaya menarik ahli baru dalam bentuk tidak memperdayakan dan tidak menghiasi sesuatu hakikat yang tidak benar.
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤ 0 comments
..:: MLM dari perspektif Fiqh Islami ::..